SMK Marudi,Baram

SMK Marudi,Baram
Maju,Terus,Maju

Selamat Datang...

Perjuangan Mencari ilmu memerlukan pengorbanan...tiada kejayaan tanpa pengorbanan..berusahalah selagi kudrat masih ada,jangan persiakan peluang yang ada

Sunday, February 19, 2012

Rumusan BM 2

Fahami petikan di bawah ini dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 160 hingga 170 patah perkataan

Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan.      

Masyarakat moden dikatakan sudah tidak ada masa yang cukup untuk menyediakan makanan yang dimasak sendiri. Justeru, makanan segera atau fast food dan makanan rapu atau junk food menjadi alternatif kerana makanan ini mudah, cepat, lazat, dan enak dimakan. Banyak orang sekarang tidak memikirkan kesan negatif sampingan yang dapat memudaratkan kesihatan dan tubuh badan sebagai akibat daripada amalan memakan makanan yang sedemikian.

Golongan kanak-kanak merupakan golongan yang terlalu mudah terpengaruh oleh makanan yang sedemikian, khususnya melalui iklan-iklan yang menarik yang ditayangkan menerusi siaran televisyen dan radio. Makanan yang sedemikian mempunyai "kalori kosong" dan tidak berzat serta berupaya melemahkan anggota tubuh badan. Keadaan menjadi lebih buruk apabila makanan-makanan seperti ini bukan sahaja dapat dibeli di kedai-kedai atau warung-warung di tepi jalan tetapi juga dapat dibeli melalui penjaja-penjaja yang bergerak dari rumah ke rumah. Ibu bapa pula kebanyakannya jarang mengambil tahu tentang makanan yang dibeli dan dimakan oleh anak-anak mereka.               

Makanan tersebut sebenarnya telah dicampur dengan bahan aditif makanan dengan tujuan mengekalkan bau, warna, rasa, dan kesegaran setelah tersimpan lama. Dalam makanan seperti ini, aditif yang sering digunakan ialah perisa, pewarna, dan pengawet sama ada yang asli ataupun yang tiruan. Risiko yang lebih tinggi datangnya daripada penggunaan aditif tiruan kerana aditif tiruan mengandung bahan-bahan kimia aktif yang mudah bertindak balas. Seterusnya, aditif tiruan dapat menjadikan bahan makanan tercemar atau beracun lantaran menyebabkan gangguan terhadap kesihatan manusia. Penggunaan aditif makanan untuk mengelakkan makanan tersebut daripada busuk atau rosak menambah risiko dan bahaya yang dihadapi oleh pengguna. Bahan daging dalam ramuan makanan segera biasanya dicampur dengan sodium nitrat yang dapat mendatangkan sakit kepala dan barah manakala penggunaannya yang berlebihan pula dapat menyebabkan kerosakan otak. Bagi wanita yang sedang hamil pula, kemungkinan janin dalam kandungan mereka terdedah kepada bahaya menyebabkan janin itu meninggal dunia semasa dalam perut lagi.

Menurut kajian Persatuan Pengguna Australia, kebanyakan makanan segera mengandung garam, lemak, dan campuran kimia yang tinggi sehingga mampu menyebabkan seseorang mengalami pelbagai jenis penyakit atau keracunan makanan. Kadar kandungan lemak yang tinggi akan menimbulkan lemak dalam badan manusia yang akhirnya mengganggu pertumbuhan dan kesihatan badan. Menurut kajian, jika makanan segera itu mengandung lemak binatang, gangguan dan penyakit kepada hati akan berlaku.

Penggunaan bahan pengawet seperti Butyted Hydroxytsliene dan Butylaied Hydroxynisole untuk mengelakkan tumbesaran bakteria dan kulat pada daging makanan segera pula dapat mengekalkan kandungan vitamin tertentu dalam makanan tersebut. Akan tetapi, banyak pengguna tidak sedar akan kesan sampingannya yang dapat mengakibatkan tekanan mental, kadar pembesaran berkurangan, kerosakan pada hati dan buah pinggang, rambut gugur, dan yang teruk sekali ialah penyakit barah. Di samping itu, kebanyakan kilang pemprosesan dan pembuatan makanan rapu menggunakan sakarin, iaitu sejenis pemanis tiruan yang kadar kemanisannya adalah 300 kali ganda lebih manis daripada gula biasa. Makanan yang terhasil tentunya lazat dan manis tetapi tidak banyak orang yang sedar bahawa bahan itu mampu menyebabkan barah dalam perut. Makanan segera biasanya dimakan bersama-sama sos supaya lebih sedap, enak, dan lazat. Malangnya, kebanyakan sos yang ada di pasaran, sama ada sos tomato atau sos cili, mengandung asid benzoik yang dapat menyebabkan gangguan kepada urat saraf. Menurut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang, kebanyakan sos yang terdapat di pasaran negara ini mengandung kadar asid benzoik yang melebihi paras yang ditetapkan oleh Institut Penyelidikan dan Piawaian Malaysia (SIRIM), iaitu 250 ppm.                                                                    
Dalam makanan rapu, selain penggunaan pewarna dan pengawet, bahan perisa juga digunakan untuk mengabui mata kanak-kanak sedangkan makanan tersebut dibuat daripada hampas yang tidak berzat. Perisa tiruan yang sering digunakan ialah monosodium glutamat (MSG). MSG menyedapkan makanan, dan oleh itu, makanan rapu menjadi kegilaan kanak-kanak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah memberikan peringatan bahawa pengambilan MSG yang berlebihan akan mengakibatkan kerosakan otak dan penyakit barah dalam kalangan kanak-kanak, dan dalam kes yang serius, mangsa akan mengalami pendarahan otak.

Daripada huraian tersebut, timbul persoalan yang harus ditangani bersama. Mengapakah masyarakat kita yang semakin maju dan terdidik pada masa sekarang kurang sedar akan makanan yang dimakan mereka setiap hari? Adakah makanan yang kelihatan segar, lazat, dan menarik itu sepatutnya berzat dan berkhasiat? Sebenarnya, sifat kepenggunaan dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita masih rendah. Begitu juga, sifat waspada terhadap amalan pemakanan dan amalan kesihatan serta kebersihan diri dan makanan yang tidak sempurna kurang menonjol. Kesedaran pengguna dan tanggungjawab sosial dan etika perniagaan perlu dipupuk supaya pengguna dan peniaga sama-sama memperoleh manfaat.

 Skema Jawapan....



Perenggan
Maksud yang hendak disampaikan

1
Idea Utama

 Masyarakat moden tidak ada masa yang cukup untuk
   menyediakan makanan yang dimasak sendiri.
 Oleh itu, mereka menjadikan makanan segera dan makanan
    rapu sebagai makanan altematif

2
Isi-isi Sokongan

 Golongan kanak-kanak mudah terpengaruh oleh makanan
    yang sedemikian
 Selain mudah didapati, ibu bapa pula jarang mengambil tahu
    akan makanan yang dibeli dan dimakan oleh anak-anak
    mereka.

3
 Makanan tersebut mempunyai risiko yang tinggi kerana
    terdapat campuran aditif tiruan yang dapat menyebabkan
    gangguan terhadap kesihatan manusia.

4
 Kebanyakan makanan segera mengandung garam, lemak, dan
    campuran bahan kimia yang tinggi sehingga dapat
    menyebabkan seseorang itu terdedah kepada masalah
    kesihatan.

5
 Penggunaan bahan pengawet, sakarin, dan sos yang
    keterlaluan juga dapat mendatangkan kesan sampingan
    kepada seseorang

6
 Selain penggunaan pewarna dan pengawet, bahan perisa juga
    digunakan dalam makanan tersebut.
 Pengambilan bahan tersebut secara berlebihan akan
    mengakibatkan kerosakan otak, penyakit barah, dan bagi kes
    yang serius, mangsa mengalami pendarahan otak.

7
Kesimpulan

 Sebenarnya sifat kepenggunaan dalam kalangan masyarakat
    di negara ini masih rendah.
 Kesedaran pengguna, tanggungjawab sosial, dan etika
    perniagaan perlu dipupuk supaya peniaga dan pengguna
    sama-sama memperoleh manfaat





 

No comments: