SMK Marudi,Baram

SMK Marudi,Baram
Maju,Terus,Maju

Selamat Datang...

Perjuangan Mencari ilmu memerlukan pengorbanan...tiada kejayaan tanpa pengorbanan..berusahalah selagi kudrat masih ada,jangan persiakan peluang yang ada

Sunday, February 19, 2012

Karangan Laras Sastera Pengajian Am 2

Karangan Disiplin Sastera
Tajuk 1:        Kementerian Pelajaran mewajibkan setiap pelajar menyertai aktiviti kokurikulum tetapi sambutan pelajar terhadap aktiviti  kokurikulum amat tidak menggalakkan. Bincangkan langkah yang sesuai untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum.

Jawapan 1:
          Penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang diwajibkan oleh kementerian pelajaran Malaysia merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah seperti yang dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996. Objektif utama pengenalan aktiviti kokurikulum adalah membentuk modal insan secara menyeluruh yang meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Akan tetapi, sambutan pelajar terhadap aktiviti kokurikulum amat tidak menggalakkan.
          Langkah-langkah dan strategi-strategi yang konkrit serta efektif haruslah dirancang oleh pelbagai pihak berkenaan untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum. Antaranya ialah kerajaan memasukkan aktiviti kokurikulum sebagai subjek yang diwajibkan dalam peperiksaan sekolah. Penilaian aktiviti kokurikulum pelajar bukan sahaja penting bagi pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), malah mampu menunjukkan integrasi dalam sistem pendidikan negara kita. Penilaian aktiviti kokurikulum juga merupakan satu saluran untuk membantu pihak IPT dalam membuat pemilihan pelajar-pelajar ke universiti-universiti tempatan. Oleh sebab itu, pelajar-pelajar digalakkan menceburi diri dalam aktiviti kokurikulum agar berpeluang cerah melanjutkan pelajaran ke menara gading.
          Selain itu, kerajaan harus menyediakan insentif seperti biasiswa dan bantuan kewangan serta kelonggaran kemasukan ke IPT kepada golongan yang melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum. Kerajaan harus memberi anugerah khas yang diambil kira sebagai markah bonus untuk memohon kemasukan ke IPT kepada para pelajar yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
          Di samping itu, pihak sekolah harus melibatkan ibu bapa pelajar dalam aktiviti kokurikulum, seperti aktiviti perkhemahan dan pengembaraan. Ibu bapa merupakan satu faktor yang mendorong pelajar menyertai aktiviti kokurikulum. Ibu bapa harus lebih memahami objektif utama aktiviti kokurikulum di sekolah supaya pelajar-pelajar digalakkan dan dinasihati untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dengan lebih aktif.  
          Akhir sekali, pihak sekolah harus mempelbagaikan aktiviti kokurikulum dan menjadikan aktiviti kokurikulum lebih menarik serta mampu menambat hati pelajar. Pihak sekolah juga harus memperkenalkan aktiviti yang lebih mencabar seperti mendaki bukit, berkayak dan meluncur angin kepada pelajar-pelajar yang ingin mencabar kemampuan diri mereka. Dengan itu, pelajar-pelajar akan mempunyai pilihan yang lebih banyak dan seterusnya melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dengan lebih aktif.
          Kesimpulannya, pelbagai pihak harus berganding bahu untuk menjadikan aktiviti kokurikulum lebih menambat hati pelajar. Penglibatan diri dalam aktiviti kokurikulum bukan sahaja mampu meningkatkan jati diri pelajar, malah mampu membentuk modal insan yang dinamik untuk merealisasikan Wawasan 2020.

Jawapan 2:

          Pada zaman globalisasi ini, kegiatan kokurikulum memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan personaliti remaja. Namun begitu, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran menunjukkan bahawa penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum amat mengecewakan. Oleh itu, pelbagai inisiatif perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini.
          Sebagai permulaan, kerajaan Malaysia haruslah mengambil langkah primer dengan menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai mata pelajaran wajib di sekolah. Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum haruslah lebih diambil kira berbanding dengan sistem sepuluh peratus dalam permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang diamalkan pada ketika ini. Pendekatan yang serius ini mampu meningkatkan kadar penyertaan pelajar secara mendadak walaupun pendekatan ini kelihatan bersifat paksaan. Dengan ini, pelajar dapat membuang sifat memandang rendah terhadap aktiviti kokurikulum.
          Tinjauan yang dijalankan menunjukkan bahawa pelajar kurang melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kerana aktiviti yang terdapat di sekolah amat membosankan. Lantaran itu, pihak sekolah perlu mewujudkan aktiviti kokurikulum baharu yang lebih menarik. Aktiviti lasak seperti papan luncur, ‘mountain bike’ dan meluncur angin boleh diperkenalkan. Jurulatih profesional perlu diupah untuk memberi tunjuk ajar kepada para pelajar yang melibatkan diri.
          Sebilangan besar pelajar juga menjadikan masalah kewangan sebagai alasan untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Peralatan dan pakaian seragam badan beruniform telah membebankan sebilangan pelajar yang kurang berkemampuan. Langkah yang paling sesuai bagi mengatasi masalah ini adalah melalui penyediaan insentif serta bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukannya. Pelajar yang aktif juga boleh diiktiraf melalui pemberian elaun tambahan dalam bentuk biasiswa bagi menarik minat mereka.
          Pelajar juga harus ditanam minat terhadap aktiviti kokurikulum sejak usia muda. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha ini. Mereka seharusnya memberikan pendedahan awal tentang kepentingan kegiatan kokurikulum kepada anak-anak mereka sejak usia muda lagi. Hal ini adalah supaya anak-anak menanam minat terhadap sesuatu aktiviti kokurikulum dengan lebih mendalam.
          Konklusinya, pelajar yang dapat mengimbangkan aktiviti kokurikulum dengan akademik merupakan pelajar yang paling ideal. Mereka bakal menjadi golongan yang memegang pelbagai peranan penting dalam pembangunan negara kita. Oleh itu, semua pihak haruslah menggembleng tenaga bagi menarik minat pelajar terhadap aktiviti kokurikulum. 

No comments: