SMK Marudi,Baram

SMK Marudi,Baram
Maju,Terus,Maju

Selamat Datang...

Perjuangan Mencari ilmu memerlukan pengorbanan...tiada kejayaan tanpa pengorbanan..berusahalah selagi kudrat masih ada,jangan persiakan peluang yang ada

Sunday, February 19, 2012

Cara-Cara Menggalakkan Pelajar Menyertai Kokurikulum

“Soal pembangunan modal insan mesti diberikan perhatian khusus iaitu kita tidak mahu lagi murid kita terlalu obsess dengan peperiksaan…”
                                                      Dr.Mohd. Puad Zarkashi
                                                     Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia
                                                     Petikan Utusan Malaysia Online
                                                     13 Januari 2011

Selaku pengurus sekolah, bincangkan tindakan yang anda lakukan bagi memastikan penyertaan murid aktif dan menyeluruh dalam program kokurikulum sekolah bagi melahirkan insan yang seimbang sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang diwajibkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah seperti yang dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996. Objektif utama pengenalan aktiviti kokurikulum adalah membentuk modal insan secara menyeluruh yang meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Akan tetapi, sambutan pelajar terhadap aktiviti kokurikulum amat tidak menggalakkan.


Kokurikulum sudah sekian lama wujud di sekolah di Malaysia mengikut Peraturan Kursus Pengajian, Akta Pelajaran, 1956. Selama ini perancangan, pentadbiran dan pengelolaannya dijalankan sambil lewa kerana penumpuan utama diberi kepada mata pelajaran akedemik sahaja.( Mohamed Nor 1985). Akibatnya, kurikulum sekolah di Malaysia seperti yang banyak digambarkan oleh pengkritik-pengkritik, terlalu berorientasikan pencapaian akademik. (Faridah Karim, 1981). Oleh sebab itu ibu bapa selalunya menghendaki anak-anak mereka menumpukan perhatian sepenuhnya kepada aktiviti-aktiviti akademik yang terdapat di dalam bilik darjah, manakala aktiviti kokurikulum diabaikan, lebih-lebih lagi bagi murid-murid yang berada di kelas peperiksaan. News Straits Time, (18 Ogos 1985).


Isu tentang penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang semakin kurang memberangsangkan menjadi buah mulut banyak pihak. Mengapakah masalah sebegini boleh berlaku. Jikalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Lazimnya, semua pihak harus sedar bahawa masalah ini jika dibiarkan berterusan sememangnya akan menjadi sesuatu perkara serius yang melibatkan masa depan negara negara. Sebenarnya, terdapat banyak langkah yang proaktif yang boleh diambil oleh pengurus sekolah bagi memastikan masalah ini tidak berterusan.
            Perkara pertama yang saya akan lakukan ialah menubuhkan Jawatankuasa Kokurikulum sekolah. Jawatankuasa ini penting bagi menetapkan dasar pelaksanaan kokurikulum sekolah. Dalam jawatankuasa ini akan dibuat ketetapan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa kokurikulum secara berjadual. Penubuhan jawatankuasa ini akan melibatkan Guru Besar, semua Penolong Kanan, Penyelia Petang, Penyelaras Sukan dan Permainan, Penyelaras Unit Beruniform dan Penyelaras Kelab dan Persatuan. Jawatankuasa ini akan menyelesaikan masalah-masalah pelaksanaan kokurikulum di sekolah dan menyelaraskan pelaksanaan program, projek dan aktiviti kokurikulum. Jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan melaksanakan penambaikan ke atas program, projek dan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jawatankuasa ini saya akan pastikan menyediakan Perancangan Strategik untuk Sukan dan Permainan, Kelab dan Persatuan, dan Unit Beruniform. Jawatankuasa ini yang ditubuhkan ini akan merancang program, projek dan aktiviti kokurikulum dengan menyediakan anggaran belanjawan tahunan serta jadual aktiviti kokurikulum.
            Kemudahan asas bagi aktiviti kokurikulum merupakan perkara penting dalam memastikan pelaksanaan kokurikulum di sekolah  berjalan dengan lancar. Oleh itu, selaku pengurus sekolah saya akan memastikan bilangan padang, gelanggang dan kelengkapan yang mencukupi. Setelah kemudahan yang mencukupi dan ada, saya akan mengarahkan agar semua guru dan pelajar memanfaatkan kemudahan yang ada secara optimum. Penggunaan prasarana sekolah secara maksimum akan meningkat lonjakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Kemudahan yang terhad akan membataskan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Dalam hal ini, sebagai pengurus sekolah akan memastikan segala kemudahan mencukupi dan bersesuaian.
            Sebagai pengurus sekolah saya akan memastikan program kokurikulum di sekolah saya terancang dan berterusan. Saya akan memastikan para guru memberi fokus kepada aktiviti berdasarkan kekuatan sekolah. Bagi memastikan perkara ini berjalan dengan lancar saya akan memastikan sekolah mempunyai kepakaran dalaman dan luaran. Pelaksanaan program kokurikulum yang sistematik dan aspek keselamatan murid sentiasa diberikan perhatian. Kepakaran yang disediakan sama dari luar atau dalam akan membantu pelajar untuk mengoptimumkan bakat dan kelebihan atau potensi yang ada dalam diri pelajar. Bakat pelajar yang ada di sekolah perlu digilap dan dimanfaat agar potensi diri itu dapat diserlahkan.
            Bagi para guru saya akan sentiasa mengingatkan para guru agar menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas yang diberikan. Para guru di sekolah mesti memahami matlamat yang hendak dicapai oleh sekolah. Saya juga akan memastikan dan mencuba sedaya upaya untuk melahirkan guru yang kreatif dan inovatif. Bagi mencapai matlamat ini juga para guru akan diberikan pendedahan dan latihan yang secukupnya serta mengenalpasti kemahiran yang dimiliki oleh guru, minat dan pengalaman mengikut bidang. Bagi pelaksanaan program kokurikulum ini juga saya akan memastikan murid menunjukkan minat, mendapat sokongan keluarga dan piawai kehadiran murid disediakan.

Selaku pengurus sekolah,  tindakan yang saya akan lakukan bagi memastikan penyertaan murid aktif dan menyeluruh dalam program kokurikulum sekolah bagi melahirkan insan yang seimbang sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah satu daripada tindakan yang perlu dilaksanakan oleh saya ialah saya akan  menjalankan pemantauan terhadap aktiviti kokurikulum dari semasa ke semasa. Tindakan ini perlu dilakukan kerana banyak aktiviti kokurikulum di sekolah dijalankan bagai melepaskan batuk di tangga sahaja. Pelajar berasa kecewa kerana kegiatan yang dijalankan tidak menarik minat mereka. Kegiatan yang dijalankan hanya untuk memenuhi jadual. Sebagai contohnya, pelajar datang ke sekolah hanya bermain bola sepak tanpa bimbingan secara sistematik. Mereka berpendapat bahawa mereka tidak perlu datang untuk bermain bola sepak, sebaliknya mereka boleh bermain di kawasan taman tempat tinggal mereka. Oleh itu, pihak sekolah mestilah memastikan bahawa aktiviti yang dijalankan mestilah benar-benar mendatangkan manfaat kepada mereka.
Sebagai pengurus  sekolah, pemantauan aktiviti juga penting bagi saya untuk menilai keberkesanan program, projek dan aktiviti kokurikulum. Hasil pemantauan yang saya dapati saya akan gunakan untuk melaksanakan penambaikan ke atas program, projek dan aktiviti kokurikulum dan membuat penilaian impak. Saya akan mengambil tindakan penambahbaikan dan memastikan semua murid mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum. Bagi guru penyelaras saya akan pastikan segala rekod dan menyediakan jadual penyeliaan.
Di samping itu, saya juga akan sentiasa menekankan kepada pelajar tentang kepentingan penyertaan kegiatan kokurikulum dalam kalangan pelajar melalui pengenalan satu sistem pemantapan kokurikulum di sekolah . Dalam hal ini, sistem pendidikan yang tidak hanya mementingkan akademik perlulah diperkenalkan supaya semua murid ada hati untuk menyertainya. Melalui cara ini, mereka akan memberikan tumpuan yang seimbang dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Sebagai contohnya, penglibatan seseorang pelajar dalam bidang kokurikulum perlulah diambil kira semasa seseorang iu memohon untuk kemasukan ke universiti. Tindakan ini secara langsung akan menyebabkan para pelajar berminat untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.
Selain itu, pihak saya juga akan menubuhkan lebih banyak persatuan dan kelab yang baharu yang sesuai dengan minat dan kemahiran para pelajar. Sejajar dengan perkara ini, pihak sekolah sepatutnya menjalankan kajian tentang minat pelajar dalam jenis aktiviti kokurikulum yang ingin diceburi dan seterusnya berusaha untuk membentuk kelab atau persatuan demi kebajikan pelajar. Dengan itu, para pelajar akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyertai aktiviti kokurikulum yang diminati. Sebagai contohnya, pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab komputer untuk pelajar yang meminati bidang teknologi maklumat. Hal ini sememangnya akan dapat menarik minat para pelajar untuk bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum tersebut.
Saya juga amat memahami tugas dan tanggungjawab untuk menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum bukanlah hanya terletak pada bahu pihak kerajaan dan pengurus sekolah sahaja. Oleh itu, bagi memastikan pelajar terlibat aktif dalam bidang kokurikulum saya juga akan melibatkan pihak  pihak swasta. Pihak swasta juga   boleh meringankan beban pihak sekolah dengan memberikan sumbangan untuk membaiki dan menaik taraf kemudahan yang diperlukan oleh kelab dan persatuan di sekolah kerana ada padi semua jadi ada beras semua kerja deras. Hal ini bertujuan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan untuk dinikmati oleh para pelajar yang menyertai kegiatan kokurikulum. Sebagai contohnya, pihak sekolah akan cuba  memohon bantuan dari pihak swasta untuk membina gelanggang-gelanggang sukan yang baru untuk ahli kelab dan persatuan yang ada di sekolah supaya kemudahan yang sedia ada semakin bertambah. Sokongan padu daripada pihak swasta ini sememangnya akan menarik minat para pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah.
Selain itu, insentif merupakan perkara yang saya akan berikan perhatian dalam usaha menggalakkan para pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. Pihak pengurusan sekolah akan cuba mencari jalan untuk menyediakan insentif seperti biasiswa dan bantuan kewangan serta kelonggaran tertentu kepada golongan pelajar yang melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum. Saya akan cuba memberikan anugerah khas kepada pelajar yang aktif  dan yang diambil kira sebagai markah bonus untuk memohon kemasukan ke IPT kepada para pelajar yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penglibatan ibu bapa juga sangat penting dalam usaha ini, oleh itu pihak sekolah harus melibatkan ibu bapa pelajar dalam aktiviti kokurikulum, seperti aktiviti perkhemahan dan pengembaraan. Ibu bapa merupakan satu faktor yang mendorong pelajar menyertai aktiviti kokurikulum. Ibu bapa harus lebih memahami objektif utama aktiviti kokurikulum di sekolah supaya pelajar-pelajar digalakkan dan dinasihati untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dengan lebih aktif.  Pelajar juga harus ditanam minat terhadap aktiviti kokurikulum sejak usia muda. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha ini. Mereka seharusnya memberikan pendedahan awal tentang kepentingan kegiatan kokurikulum kepada anak-anak mereka sejak usia muda lagi. Hal ini adalah supaya anak-anak menanam minat terhadap sesuatu aktiviti kokurikulum dengan lebih mendalam
Saya juga akan memastikan pihak sekolah untuk mempelbagaikan aktiviti kokurikulum dan menjadikan aktiviti kokurikulum lebih menarik serta mampu menambat hati pelajar. Pihak sekolah juga harus memperkenalkan aktiviti yang lebih mencabar seperti mendaki bukit, berkayak dan meluncur angin kepada pelajar-pelajar yang ingin mencabar kemampuan diri mereka. Dengan itu, pelajar-pelajar akan mempunyai pilihan yang lebih banyak dan seterusnya melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dengan lebih aktif.
Bagi memastikan penyertaan pelajar secara menyeluruh dan aktif saya akan memastikan di sekolah saya mempunyai satu sistem penilaian kokurikulum yang mantap. Bagi memantapkan sistem penilaian ini, satu sistem permarkahan akan disediakan berdasarkan kepada semua arahan Kementerian Pelajaran Malaysia. Pihak pengurusan sekolah akan menyediakan piawaian kehadiran dan sistem rekod penyertaan pelajar secara sistematik. Penyediaan rekod yang sistematik akan membolehkan pihak sekolah menyediakan sistem pensijilan yang adil kepada semua pelajar. Penyediaan sijil dan anugerah berdasarkan sistem penilaian kokurikulum yang mantap akan menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum kerana pelajar merasakan penyertaan mereka dalam aktiviti kokurikulum bukan merupakan satu usaha yang sia-sia dan tidak berfaedah.
Sebilangan besar pelajar juga menjadikan masalah kewangan sebagai alasan untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Peralatan dan pakaian seragam badan beruniform telah membebankan sebilangan pelajar yang kurang berkemampuan. Langkah yang paling sesuai bagi mengatasi masalah ini ialah pihak pengurusan sekolah akan menyediakan insentif dan bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukannya. Pelajar yang aktif juga akan diiktiraf melalui pemberian elaun tambahan dalam bentuk biasiswa bagi menarik minat para pelajar secara aktif dan menyeluruh dalam program kokurikulum sekolah.
Selaku pengurus sekolah, tindakan yang akan diambil bagi memastikan penyertaan murid yang aktif ialah bekerjasama dengan agensi kerajaan. Antara agensi kerajaan yang dapat membantu dalam usaha ini ialah pihak Polis, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan Majlis Tempatan. Saya akan mendapatkan bantuan dan kerjasama yang baik daripada agensi tersebut.  Selain itu, kerjasama dengan Agensi Bukan Kerajaan(NGO) juga akan dimanfaatkan, pihak sekolah akan member kerjasama terhadap aktiviti agensi bukan kerajaan yang tidak bercanggah dengan peraturan Kementerian Pelajaran. Kerjasama ini akan membolehkan pihak sekolah mendapat sumbangan dalam bentuk kewangan, tenaga, kepakaran dan kebajikan. Kerjasama pihak sekolah dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan akan merancakkan lagi aktiviti kokurikulm di sekolah, seterusnya menggalakkan penglibatan pelajar di sekolah dalam aktiviti kokurikulum.

            Kesimpulannya, pelajar yang dapat mengimbangkan aktiviti kokurikulum dengan akademik merupakan pelajar yang paling ideal. Mereka bakal menjadi golongan yang memegang pelbagai peranan penting dalam pembangunan negara kita. Oleh itu, semua pihak haruslah menggembleng tenaga bagi menarik minat pelajar terhadap aktiviti kokurikulum. Pelbagai pihak harus berganding bahu untuk menjadikan aktiviti kokurikulum lebih menambat hati pelajar. Penglibatan diri dalam aktiviti kokurikulum bukan sahaja mampu meningkatkan jati diri pelajar, malah mampu membentuk modal insan yang dinamik untuk merealisasikan Wawasan 2020.

No comments: